Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Saya doakan anda ceria di pagi cuti bahagia ni.
Seminggu dua ni, anak-anak sibuk ke sekolah setelah bercuti panjang. Sesi bersekolah 2016 baru bermula.
Ibu bapa pun tidak kurang sibuk di sekolah. Ada yang mengintai aktiviti anak-anak. Ada pula yang mengambil kesempatan mengintai cikgunya juga.
Mungkin ambil semangat untuk hantar anak setiap pagi. Katanya ada penyeri di sana menanti. Nakal sungguh niatnya. Semoga anda tidak begitu ye.
Virallah di media sosial seumpama Fb menjadi medan pengumpulan gambar-gambar cikgu cantik dan hensem. Untuk tatapan bersama dan berkongsi cerita. Hanya untuk suka-suka. Tidak mengapa.
Hari ni, niatnya bukanlah nak berkongsi tajuk ini dari perspektif seorang ibu atau bapa.
Tapi izinkan saya menghamparkan sebuah kisah benar lagi indah antara seorang cikgu cantik dengan anak murid lembamnya.
Percayalah cakap saya. Anda takkan menyesal membacanya. Bahkan pasti anda ingin turut kongsi cerita ini bersama rakan-rakan.
Biar viral menjadi suatu kisah pedoman buat insan bernama guru dan murid yang menjadi teman.
CIKGU CANTIK LAPOR DIRI!
Kisah ini berlaku di sebuah sekolah agama. Nun jauh di kawasan yang damai dan tenang di utara.
Sebuah sekolah kecil. Dikelilingi sawah padi. Di sebelah lapangan kapal terbang. Murid dan gurunya berjumlah kurang 2000 orang sahaja.
Hari pertama cikgu cantik melapor diri sebagai cikgu matematik adalah ketika murid lembamnya di tingkatan 2.
Berjubah bertudung labuh sudah semestinya. Muda dan cantik adalah bonusnya. Maklumlah, jarang dijumpa di sekolah agama, cikgu yang muda belia.
Pertama kali masuk ke kelas dan mengajar, anak murid lembamnya jatuh kasih.
Cikgu cantiknya masih muda. Baru sahaja tamat diploma di sebuah IPT di Melaka. Bekas pelajar sekolah yang sama. Balik menabur bakti semula.
Terasa aura seorang cikgu yang ikhlas dan penuh kasih sayang. Allah berikan kepada cikgu cantik ini kesungguhan dalam mengajar. Teknik pengajarannya lain dari yang lain. Sentuhan dan perhatian tehadap muridnya ajaib sekali.
Bukan lagi hanya tangan cikgu cantik itu menulis pelajaran di papan hitam. Bahkan seolah-olah menulis hingga lekat di otak yang kelam dan menghunjam ke sanubari yang dalam.
Kasih sayang dan perhatiannya kepada semua anak murid dapat dirasai. Diulang-ulang pelajaran tanpa jemu hingga ia nampak pelajar mula mengangguk memahami.
Nun di hujung kelas. Betul-betul di hadapan meja cikgu, anak murid lembam duduk di situ. Dia rasa teruja sambil tertanya-tanya,
"Ilmu apa cikgu cantik ni pakai? Cikgu cantik ni buat subjek susah ini terasa senang."
Apatah lagi subjek matematik inilah yang paling tidak disukainya selepas BI.
Murid lembam itu seorang yang sering menyendiri. Suka menghafal kitab. Suka membaca buku agama. Suka bahasa Arab dan sukakan sastera. Jiwanya halus. Mulutnya diam.
Subjek-subjek akademik bukanlah minatnya. Tak boleh dihadam oleh otak dan hatinya yang bebal.
Murid lembam itu masuk sekolah agama pun semata-mata untuk mengelak belajar subjek akademik. Itu niat awalnya.
Tidak tahu dari mula bahawa sekolah agama pun ada subjek akademik juga. 10 mata pelajaran lebih daripada sekolah menengah biasa pula.
Suasana dalam kelas di sekolah agama |
Hampir tiada siapa tahu rahsianya. Tiada siapa yang tahu anak murid lembam ini tak suka belajar subjek akademik. Sering murung dan sering jauhi orang lain.
Terasa berat subjek akademik. Padahal, subjek agama jauh lebih susah lagi hakikatnya.
Ibu ayahnya tak tahu. Rakan-rakannya juga tak tahu. Yang mereka tahu, murid lembam itu budak pandai. Tingkatan 1, dia dapat nombor 1 dari seluruh pelajar tingkatan.
Mereka tidak tahu, murid lembam itu menghafal semua buku teks subjek akademik untuk menjawab soalan peperiksaannya.
Kekuatan budak lembam itu terletak pada hafalannya. Bukan kemahiran berfikirnya!
CIKGU CANTIK BERI PERHATIAN...
Anak murid lembam itu mula suka belajar matematik. Kini tidak lagi menghafal. Tapi mula membuat latihan demi latihan lebih banyak.
Lebih kerap pegang buku teks dan latihan matematik. Mula mengajar kawan-kawan yang lemah matematik bersama.
Cikgu cantik perasan, anak murid lembamnya pandai sebenarnya. Bukan hanya kuat menghafal. Tapi akalnya lebih dari itu. Potensinya besar sekali.
Cuma mungkin dia perlukan lebih perhatian, lebih pendekatan dan teknik pembelajaran berkesan.
Dirapati murid lembamnya. Dipuji dan diberi kata motivasi selalu. Diberi hadiah apabila perlu. Dijadikan kawan bergurau dan bermain selalu.
Tidak hanya murid lembamnya, anak murid lain pun begitu.
Kelas cikgu cantik sentiasa ditunggu. Bukan kerana rupanya. Tapi kerana keceriaannya, kepetahannnya, perhatiannya dan kesungguhannya mengajar mencuri hati murid-murid nakalnya.
Setahun hampir berlalu, anak murid lembamnya mula menunjukkan bakat kepandaian yang tersimpan lama dalam dadanya.
Kini, berilah soalan apa pun berkaitan matematik. "Kacang je soalan ni...," begitu jawabnya.
SETAHUN BERLALU....PMR DI DEPAN MATA
Setahun lamanya belajar bersungguh-sungguh. Murid lembamnya terus berjaya ke tingkatan 3.
Nombor 1 seluruh tingkatan adalah miliknya lagi. Tiada siapa dapat merebutnya.
Tapi sayang.....untuk subjek akademik, murid lembam itu masih menghafal lagi, kecuali matematik.
Naik ke tingkatan 3. Sijil Penilaian Menengah Rendah sudah pun menanti di hujung tahun nanti. Murid lembam itu bermonolog protes sendiri,
"Sampai bila aku mahu menghafal subjek akademik ni? Kenapa tidak seperti matematik saja? Kuasai formula. Buat latihan banyak-banyak hingga lekat. Bukan lagi menghafal.
Dengan hafalan saja, tak ubah seperti mesin fotostat. Ambil dan tampal. Sedang ilmu tak dapat dihadam di dalam dada. Ia satu kerugian. Bukan keuntungan."
Cikgu cantiknya juga mungkin perasan. Murid lembamnya bukan tak pandai tapi potensinya masih belum dicungkil sepenuhnya.
Cikgu cantik tawarkan untuk tuisyen di rumahnya. 4 pelajaran akademik sekaligus. Matematik, Geografi, Sains dan Sejarah. Murid lembap menjadi murid pertama 'menyerah' diri.
Dia mesti jadi pandai dan berjaya. Dia mesti kuasai ilmu dunia sepertimana dia kuasai ilmu akhirat. Itu azamnya dalam diri.
Kemudian 4 orang pelajar lagi mengikuti tuisyen itu. 4 mata pelajaran dengan yuran RM 28. Cikgu cantik serba salah pula apabila meletakkan bayaran. Entah mengapa.
Bagi murid lembam, baginya, ia langsung bukan bayaran. Bahkan ia hanya sebagai syarat sahaja.
Mana ada tuisyen ketika itu 4 subjek RM 28? 1 subjek di pusat tuisyen sahaja sudah RM 50-70.
Bayangkan jika sudah 4 subjek utama yang memang merupakan kelemahan ramai pelajar sekolah agama hendak dicaj, pasti bukan itu jumlah yuran bulanannya.
Murid lembam itu cepat faham. Sekalipun ia lembam, tapi jika begitulah keikhlasan gurunya, mana mungkin hati tidak menghargainya.
Perhatian, kesungguhan guru cantiknya dijadikan bekal.
"Cikgu ni betul-betul nak mengajar supaya aku pandai dan berjaya. Hingga yuran pun diletak hanya untuk ada-ada saja. Jadi aku mesti usaha hingga pandai dan berjaya!" katanya.
3 kali seminggu tuisyen di rumah cikgu cantiknya. Jam 1, sama-sama pulang dari sekolah.
Setelah mandi, makan dan sembahyang, murid lembamnya mengayuh basikal ke rumah cikgu cantiknya yang dijadikan 'markaz' tuisyen.
2.30 petang bermula. Murid lembam bersama 4 orang rakan belajar secara insentif. Lain dari yang lain. 4 subjek sekali hadap. Latihan super banyak untuk penguasaan dan kemahiran akal.
Penat dari sekolah sudah bukan lagi alasan. Kepercayaan, perhatian dan kesungguhan cikgu cantik tak boleh diabaikan.
Selepas beberapa bulan, murid lembamnya sudah diberi kepercayaan. Setiap soalan dibincangkan jawapan. Bukan hanya cikgu beri jawapan dan anak murid kena telan.
Sama-sama buat latihan. Sama-sama bincang jawapan. Kadang cikgu cantik betul jawapannya. Kadang-kala pula, jawapan murid lembam mengatasi cikgunya.
Sekali sekala bertemu soalan yang susah. Berjam-jam lamanya cikgu cantik dan muridnya berbincang berbandingkan jawapan.
"Mengapa begitu?"
"Apa formulanya?"
"Bagaimana kiraannya?"
"Apa sumber rujukannya?"
"Muka surat berapa?"
Soalan-soalan ini sudah menjadi rutin harian mereka setiap kali kelas tambahan ada.
Bukan mencari siapa menang tapi mengeluarkan kepandaian dan potensi diri yang sudah lama tertanam dalam jiwa murid lembam.
Cikgu cantik hebat sekali tekniknya. Mengajar murid lembap sekolah menengah agama dengan teknik kolej dan universiti utama.
Ternyata, bila cikgu fokus dengan muridnya dengan penuh kasih sayang, perhatian, kesungguhan dan kepercayaan, murid sebodoh mana pun akan mula berubah sikap dan watak.
Bukan hanya kepintaran dapat diubahnya, bahkan watak dan kepercayaan diri juga bertambah.
Itulah yang berlaku kepada murid lembam sepanjang proses pembelajaran berlaku.
Hubungan mereka tika itu sudah lebih dari seorang cikgu cantik dan anak murid lembam. Hubungannya sudah seperti seorang adik dan seorang kakak. Mesra tapi dijaga batasnya.
Di pihak keluarga, sering dipesan murid lembam itu oleh ibu ayahnya,"Jangan terlalu mesra sangat. Nanti apa kata orang. Cikgu kamu tu bujang lagi tau." Nadanya dalam bentuk gurauan.
Mereka tidak pernah melihat anak mereka yang lembam itu dekat dengan sesiapa. Bila kelihatan mesranya, takut pula mereka jika ada yang mengata.
Adat hidup di kampung. Begitulah adanya. Jangan sampai orang mengata. Mudah saja prinsipnya.
MURID LEMBAM AKHIRNYA.....
Datanglah masa yang paling ditakuti oleh murid lembam dan guru cantiknya. Peperiksaan PMR sudah di depan mata.
Dengan lafaz bismillah mereka bermula. Habis 9 subjek akademik diduduki murid lembam. Tapi tika itu, ia sudah bersedia.
Bukan lagi dengan hafalan tapi dengan ilmu dan kepandaian akal untuk berfikir, mengkaji, mengira, menganalisa dan menjawab.
Alhamdulillah. Semua berjalan lancar. Murid lembam itu menunggu keputusan pula tanpa sebarang perasaan.
5 bulan kemudian, keputusan keluar. Murid lembam ke sekolah seorang diri tanpa mahu ibu ayahnya menemani. Ia hendak ambil keputusan secara menyendiri.
Berjaya atau gagal hendak disimpan sendiri. Itu azam murid lembam yang masih tidak percya diri.
Kata ibunya,"Kalau dapat 3A, mak bagi hadiah makan-makan. Kalau 3E, mak bagi hadiah rotan."
Hanya itu ramalan ibu ayahnya. Ye. Apa nak dihairan. Sejak kecil dia memang murid lembam.
"Kalau dapat 5A, dapat apa....?" tanya murid lembam. Sengaja beranikan diri sedang dia sendiri tiada perasaan.
"............. ayah bagi motor kalau dapat 5A ke atas," jawab ayahnya setelah beberapa detik.
Sambil mata memandang pelik muka anaknya dengan muka hairan. Mungkin hati berbisik,"Demam ke anak aku hari ni....?"
Berapa A pun bagi budak lembam bukan kiraan. Kerana dia hanya puas dapat menjawab soalan dengan tenang. Bukan melihat betapa cemerlangnya ia dalam peperiksaan.
"Ini ke Mohd Taufiq? Tahniah dik. Anda dah pecah rekod sekolah. Dah berpuluh tahun sekolah ni ditubuhkan. Buat kali pertamanya....." kata kerani sekolah sambil menyerahkan keputusan dengan kata-katanya yang terputus di tengah jalan.
Dup..dap...dup...dap jantung seperti berhenti.
"Apa cerita pula ni," kata murid lembam sendiri. Tapi tak terluah isi hati kerana terkaget sendiri.
Si murid lembam melihat sijil di tangannya.
"Alhamdulillah......" sahut cikgu cantik yang tiba-tiba muncul di belakangnya.
"Tahniah Taufiq. 8A dalam genggaman. Kamu tak suka ke...?" kata cikgu cantik tanpa sedar yang murid lembamnya sudah bergenang air mata dan bergetar hati.
"Allah...alhamdulillah...aku pandai rupanya," jerit hatinya.
Kali pertama dalam hidupnya, rasa percaya diri telah sempurna.
Ya. Murid lembam itu pandai. Cuma percaya diri telah membataskannya.
Cikgu cantiklah orang pertama yang mencungkil dan menyelesaikan masalahnya.
Hasil ajaran, didikan, perhatian dan kepercayaan cikgu cantiknyalah, murid lembam itu mula mendaki satu persatu tangga kejayaan.
2001 - Pelajar Terbaik PMR Sekolah-sekolah Agama dan Negeri. Mendapat biasiswa dari Kementerian Pertahanan Malaysia hingga tingkatan 5.
2002 - Pelajar Terbaik Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA). Peringkat Sekolah-sekolah Agama dan Negeri.
2003 - Pelajar Terbaik SPM peringkat Sekolah-sekolah Agama dan Negeri. Mendapat dermasiswa dari Kementerian Pertahanan Malaysia.
2004 - Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Peringkat Sekolah-sekolah Agama, Negeri dan Kebangsaan.
Mendapat biasiswa penuh UIA untuk ijazah pertama Fiqh dan Fatwa tapi ditolak. Memilih untuk menyambung pengajian di al-Azhar, Mesir.
2009 - Pelajar Malaysia Terbaik al-Azhar dalam Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah dengan Kepujian Kelas Satu.
ANDA IRIHATI...?
Hanya kerana seorang cikgu cantik yang ikhlas dan hebat. Murid lembamnya juga bertukar menjadi orang hebat.
Jika ada yang iri hati, saya faham kenapa. Bukan semua orang dapat pelung belajar dari cikgu cantik dan berbudi.
Semua kejayaan ini bukan untuk dibangga tapi hanya untuk inspirasi buat anda. Sebagai guru atau pun sebagai ibu bapa.
Percayalah. Setiap manusia itu punya kepandaian yang berbeza.
Guru cantik dan guru hensem yang sebenar adalah yang boleh meneliti kepandaian itu dan mengeluarkannya dari jiwa seorang murid.
Jangan hanya pandai berselfie untuk bangga diri tapi jadikanlah kejayaan pelajar kita sebagai kebanggan utama.
Kerana itulah sebenarnya impian buat seorang yang bergelar guru dan pendidik buat anak bangsa ini.
IZINKAN SAYA PULA MEMBANTU CIKGU....
Semalam, budak pandai ni sempat bersembang lama dengan cikgu cantiknya. Sudah lama tak ketemu muka. Last berjumpa ketika pulang dari Mesir saja.
Ada banyak cerita dikongsi dan paling utama adalah kemelesetan ekonomi.
Alhamdulillah, budak pandai itu kini dah jadi usahawan bekerja sendiri. Kerana mungkin sifat orang pandai, mereka tak suka digaji.
Keluarga cikgu cantik. |
Insyaallah, jika diberi peluang, budak pandai ni ingin sekali balas budi. Budak pandai ini akan bantu cikgu cantik menjadi kaya dan berjaya dalam bisnes pula.
Bukanlah sebagai bayaran didikan tak ternilai dulu tapi anggaplah hanya sebagai imbuhan.
Inilah kekayaan dan kebebasan kewangan yang tak sempat cikgu cantik rasa dulu kerana sibuk menguruskan murid lembamnya untuk berjaya dulu.
Mohon doa semua pembaca agar murid pandai ini dapat gunakan kepakarannya dalam bisnes emas fizikal untuk membantu pula cikgu cantiknya pula menjadi kaya dan berjaya dalam bisnes ini serta mencapai apa jua impiannya yang telah tertangguh lama.
Terima kasih atas bacaan anda walaupun panjang berjela kisahnya. Ia kisah benar dari budak pandai yang dikongsi bersama saya.
Yang benar,
Saya adalah Cikgu Mat.
Cikgu Mat adalah Ustaz Mohd Taufiq :)
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.