HUKUM PERMAINAN KUTU EMAS FIZIKAL


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Saya doakan,"Anda Kaya dan Berjaya."

Hari ni izinkan saya berkongsi hukum berkaitan permainan kutu emas yang semakin banyak dilakukan oleh orang kita sekarang.

Maklumlah, ekonomi suram di depan mata. Jadi mengambil tindakan menyimpan emas dari lebihan belanja adalah satu cara bijak menyimpan dan mengembangkan kekayaan dengan emas fizikal.

Asasnya, saya sendiri mencadangkan simpanan emas fizikal sebaiknya hendaklah dari lebihan wang belanja bulanan kita. Bukan menyimpan emas secara berhutang atau meminjam dari sesiapa. 

Boleh ikuti tulisan saya berkaitan pandangan saya ini di link ini, Tips Beli Emas Fizikal Sebagai Simpanan.

PERMAINAN KUTU

Permainan kutu perlu dilihat dari 3 sisi.

1. Dari sisi masyarakat (Uruf)

Kumpulan wang kutu ini ertinya mengumpulkan bayaran tertentu daripada beberapa orang ahli dengan persetujuan tertentu. 

Jumlah yang dikumpulkan akan diberi kepada setiap ahli mengikut giliran sama ada dengan cabutan atau dengan ketetapan.

2. Dari sisi undang-undang (Akta)

Kumpulan wang kutu ertinya rancangan atau perkiraan yang mana peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama. 

Kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.



3. Dari sisi syariah (hukum)

Kumpulan wang kutu ini ertinya pengumpulan wang dalam bentuk hutang atau pinjaman ikhlas dari beberapa individu atas konsep taa’wun (membantu) dengan jumlah tertentu dan skala masa tertentu untuk tujuan maslahat kewangan.

Kumpulan wang ini akan diperoleh setiap ahli yang terlibat dengan kontrak permainan mengikut giliran secara undian atau secara ketetapan.

KUTU EMAS

Kutu Emas sama sahaja maksudnya dengan kutu wang di atas. 

Cuma tujuannya jelas iaitu untuk tujuan membeli emas fizikal atau emas perhiasan dengan jumlah wang kutu yang dikumpulkan.

HUKUM PERMAINAN KUTU WANG/KUTU EMAS

Asas hukum dalam kewangan Islam adalah HARUS sehingga ada dalil yang menunjukkan pengharamannya.

Ini termasuklah permainan kutu. Ia adalah harus selagimana ia tidak melibatkan unsur riba dan gharar (ketidakpastian).

Mari kita tinjau satu persatu hingga kita bertemu hukumnya yang muktamad.

AKAD/KONTRAK

1. Mazhab Syafie: 

Akad/Kontrak dalam permainan kutu ini adalah akad/kontrak HUTANG. 

Oleh itu, HARAM bermain kutu tanpa akad berlafaz atau kontrak bertulis. Ini adalah pendapat muktamad.

Pada pendapat Imam Nawawi: Jika saling meredhai. Ia juga harus pada syarak. 

Ikutilah pendapat muktamad kerana ia lebih kuat.

2. Mazhab Maliki:

Akad/Kontrak dalam permainan kutu ini adalah akad/kontrak PINJAMAN.

HARUS mewakafkan wang secara bertempoh  melalui dana wakaf yang menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada ahli yang memerlukan. 

Dalam konteks kutu, ia menggambarkan satu kumpulan peserta yang bekerjasama mengeluarkan wang pendahuluan bagi membantu anggota lain mendapatkan dana.


Anda ingin menyimpan emas tanpa
perlukan duit kutu? Klik segera!

LAFAZ AKAD/KONTRAK BERTULIS

Apabila tiba giliran seseorang dalam kumpulan kutu ini, setiap ahli yang membuat bayaran SUNAT mengucapkan lafaz,

"Saya bayar hutang saya kepada awak sebanyak RM200."

Atau lafaz lainnya yang menunjukkan ada akad antara ahli kumpulan kutu itu.

Begitu juga dengan kontrak bertulis. SUNAT mengadakan kontrak bertulis sebagaimana yang dituntut di dalam al-Quran.

"....dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar sampai batas waktu membayarnya..." - Ayat 2, al-Baqarah.

JUMLAH WANG YANG DIKUMPUL DAN DIBERIKAN

Jumlah wang itu yang diberi hutang/pinjam itu mestilah sama antara semua ahli kumpulan tanpa terkurang atau terlebih pada seorang pun.

Begitu juga jumlah wang yang diterima secara penuh oleh seseorang apabila tiba gilirannya juga mestilah sama. Tidak terkurang atau terlebih sedikitpun.

Ia adalah untuk mengelakkan berlakunya riba lebihan bayaran hutang/pinjaman yang telah dijanjikan sebelumnya.

MASA PEMBERIAN

Masalah persepakatan dalam pinjaman berbalas seperti di dalam permainan kutu ini dengan kuantiti jumlah dan tempoh yang sama (bulanan) ini tiada terkandung di dalamnya sebarang kezaliman kepada mana-mana pihak sekalipun waktu penerimaan setiap orang berbeza.

Ini kerana ia boleh diikat dengan kontrak yang menetapkan perkara itu secara jelas. Jadi setiap daripada ahli permainan kutu telah mengetahui syarat pemberian itu adalah mengikut aturan orang yang telah dipilih atau dicabut undiannya pada setiap bulan contohnya.

CABUTAN KUTU

Dalam permainan kutu, biasanya aturan ahli yang mendapat pinjaman penuh biasanya dipilih berdasarkan cabutan undi.

Adakah ia bermasalah dari sudut hukum?

Cabutan di dalam permainan kutu bukan perjudian kerana tiada unsur pertaruhan. 

Ini boleh dikiaskan kepada cabutan undi yang dibuat oleh Rasulullah SAW yang mencabut undi isteri-isteri baginda untuk bermusafir bersama baginda.

Cabutan undi boleh dilakukan apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih dan tiada kerugian pada pihak yang lain. 

Kerana semuanya akan memperoleh cabutan undi masing-masing sepanjang tempoh permainan kutu ini berlangsung. Hukumnya adalah harus. 

Tetapi untuk keluar dari perselisihan para ulama kerana ada juga yang berpendapat ia termasuk di dalam unsur gharar iaitu ketidakpastian, maka seeloknya dipilih setiap bulan 1 nama daripada ahli sedia ada dengan persetujuan kesemua ahli yang terlibat hingga tamat tempoh permaian.



AHLI KUTU

Di zaman ini, masalah ini adalah yang paling parah terjadi. Tambahan pula kutu online. Orangnya tidak dikenali apatah lagi hendak dipercayai.

Mengambil kira maslahat kebaikan yang lebih utama supaya objektif permainan kutu ini tercapai dengan komitmen hutang/pinjaman bulanan dari setiap ahli sehingga habis tempoh permainan, seeloknya setiap ahlinya:

i- Dikenali
ii- Dipercayai
iii- Jika tidak dikenali, hendaklah hadirkan saksi sepertimana asas pada hukum hutang.
iv- Mesti ada kontrak bertulis 

KONKLUSI: HUKUM PERMAINAN KUTU

1- HARUS di sisi para ulama dengan berdasarkan syarat-syarat yang dinyatakan di atas dalam setiap asek permaianan.

2- HARAM di sisi pemerintah kerana telah wujud akta yang melarangnya. Kewajipan taat kepada pemerintahan Islam juga adalah keutamaan dan boleh menolak keharusan hukum sedia ada jika ia bertujuan untuk kebaikan rakyat.

Pada pandangan saya sendiri, permainan kutu di Malaysia masih lagi harus dengan SYARAT:

1- Jumlah kutipannya munasabah (mungkin kurang RM3000) yang tidak memungkinkan terjadinya penipuan atau penggelapan wang.

2- Mestilah ahlinya dari orang yang dikenali dan dipercayai.

3- Tidak wujud unsur riba dengan lebihan bayaran atau lebihan penerimaan.

4- Tidak disyaratkan kutu itu untuk apa. Sebagai contoh kutu emas. Tujuan hasil kutipan itulah adalah untuk beli emas semata-mata oleh semua ahli kutu. 

Seeloknya tidak disyaratkan. Kerana setelah disyaratkan, jika ada ahli yang menggunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain, maka kontrak menjadi tidak sah dan wujud ketidakpuasan hati ahli-ahli yang lain. Maka ia akan membawa hukum haram.

5- Wujud sistem giliran yang telah ditentukan dari awal permaianan. Bukan secara undian bulanan. Itu lebih baik.


Anda ingin menyimpan emas tanpa 
perlukan duit kutu? Klik segera!

Sekian dulu dari saya. Semoga beroleh banyak manfaatnya.

Saya doakan,"Anda Kaya dan Berjaya."

Ustaz Mohd Taufiq
Wafiq-i Gold
Jom Simpan Emas
1 Gram 1 Bulan 1 Keluarga
Share on Google Plus

About Unknown

Penulis merupakan stokis emas Power Gold yang membuka peluang kepada semua untuk membeli emas dengan harga jimat dan menyediakan peluang biz emas fizikal di Malaysia.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...